Penarik kereta digantung kerana bunuh lelaki Bajau
SHAH ALAM: Seorang penarik kereta hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki Bajau dengan cara menikamnya sebanyak sembilan kali menggunakan senjata tajam enam tahun lepas.
Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah ke atas tertuduh, Irwan Amat, 32, yang juga anggota Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pendakwaan sementara Irwan diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Tertuduh, dari suku Suluk, Sabah, didakwa membunuh Jibal Salim, 34, seorang buruh, di tempat letak kereta Blok Cempaka, Country Homes, Rawang dekat sini, kirakira pukul 9.45 malam pada 16 Okt 2003.