Toyol Dalam Botol
MARANG: Penemuan botol mengandungi lembaga bermata merah dibalut kain hitam dan diikat benang kuning dipercayai toyol di muara Sungai Merchang, mengemparkan penduduk setempat.
Penduduk percaya lembaga itu dibuang pihak tertentu ke laut sebelum ditemui sekumpulan remaja Kampung Merchang ketika bersukan.
Wan Kamal Wan Muda, 21, berkata dia menemui botol itu ketika bermain bola tampar berhampiran muara sungai berkenaan, kira-kira jam 6.30 petang.
Katanya, dia kemudian memaklumkan penemuan itu kepada rakan lain yang kemudian berkerumun untuk melihat makhluk mengerikan yang tidak bergerak di dalam botol berkenaan.
Saya tidak pasti sama ada botol ini dibuang penduduk kampung ini atau orang luar, tetapi yakin ia digunakan untuk tujuan tidak elok kerana sebaik memegang botol itu tangan saya panas, badan menjadi lemah dan tidak bermaya, katanya.
Wan Kamal berkata, bagi memastikan perkara sebenar, dia memberitahu bapanya, Wan Muda Wan Mohamad, 60, yang kemudian berpesan supaya tidak membuka penutup botol kerana bimbang sesuatu perkara buruk berlaku.
Katanya, bagi mengelak kejadian buruk, seorang pengamal perubatan tradisional di kampung itu menasihatinya supaya membuang semula botol berisi lembaga itu ke laut.
Ketika meneliti botol terbabit, Metro Ahad mendapati botol itu didapati hampir sama dengan botol yang ditemui penduduk kampung di Pekan, Pahang.
Malah, ia turut mirip botol yang didakwa toyol yang dipamerkan sehari di Muzium Pekan.
=======================================
PEKAN. Ribuan penduduk menyerbu Muzium Negeri Pahang bagi melihat makhluk aneh yang ditemui oleh seorang nelayan yang disimpan di muzium tersebut.
Makhluk yang berukuran kira-kira 15 sentimeter tinggi dan sebesar penumbuk orang dewasa itu berada di dalam botol serbuk minuman bersaiz 980 gram. Badan makhluk itu berwarna kehijau-hijauan dengan matanya merah saga, manakala badannya diselimuti kain hitam serta diikat dengan tali putih.